Assalamualaikum.
Dua hari kebelakangan ni, kenangan zaman-gonjeng-gonjeng yakni masa saya sekolah menengah menerjah fikiran. Serius boleh buat saya ketawa sorang-sorang bila teringat kenangan-kenangan itu.
Ponteng prep malam.
Mungkin kedengaran seperti biasa, Eleh! ponteng prep pun nak jadikan kenangan. Apa yang best sangat sampai nak ingat kenangan ponteng prep? Mari saya jelaskan. Hueh. Sememangnya saya bukanlah kategori pelajar nakal. Saya pelajar biasa-biasa saja. Jenis yang buat kesalahan lepas tu buat muka tak bersalah. Walaupun kantoi. Kisah ponteng prep ni saya pernah ceritakan dalam blog ni, mungkin ada yang pernah terbaca, tapi entah kenapa tangan saya laju saja untuk menulis kembali cerita-cerita ini. Saya juga sedang menaip entri ini dengan senyuman terukir di bibir. Ya, bila kita bercerita tentang perkara-perkara yang menyenangkan hati, wajah juga akan terekspresi dengan sendiri (amboi, terekspresi la pula). Sambung cerita.
Malam itu yakni malam saya ponteng prep bersama beberapa orang kawan saya yang juga 'baik-baik', bersetuju untuk ponteng prep secara berjemaah. Kami (bertiga rasanya) duduk di dorm Sateria. Sedang bersuka ria sebab tak pergi prep. Masa tu rasa cool sangat dah sebab ponteng prep. Padahal apa sangatlah ponteng prep. Haha. Entah macam mana, boleh pula warden-warden lelaki buat terjahan mengejut. Kelam kabut semuanya. Ingatkan kami yang berada di dorm Sateria saja yang menggelabah, rupa-rupanya ada lagi kawan-kawan yang berjemaah bersama. Dorm Juara, siap ada yang sedang asyik cicah buah kuinin. Amboi. Ada yang menyorok dalam loker. Bukan seorang, tapi berdua. Nasib tak roboh loker. Mana yang kurus, selit diri celah-celah loker. Saya?. Tak muat. Haha. Mana yang lagi otai, lari menyorok belakang surau (belakang surau hutan, ada orang 'bulat'). Ada juga yang rasa diri dah hebat menyorok belakang ampaian. Tup-tup kena spot dengan torchlight dari atas. Haha. Lagi best, bila kelam kabut nak selamatkan diri dari kantoi dengan warden, tak sempat pakai pakaian yang sempurna, ada yang berlari pakai kain batik lagi. Ayu. Semua kantoi. Saya tak menyorok dalam loker (tak muat). Celah loker apatah lagi. Haha. Saya baring bawah katil (bajet leper sangatlah, warden tak boleh nampak =.=").
Menyorok dalam toilet secara berjemaah.
Lambat ke perhimpunan, pasti akan didenda. Saya memang selalu lambat keluar asrama, lambat ke perhimpunan pagi. Tapi takut kena denda. Kena denda satu hal, dapat malu satu hal. Jadi jalan terbaik adalah tak pergi langsung perhimpunan. Tak kena denda dan tak dapat malu. Mula cari akal. Yes! menyorok dalam tandas. Ya, idea yang dirasakan paling bijak saat itu. Nasib baik jugalah masa sekolah menengah dulu, badan masih slim lagi. Satu tandas kecil mampu menampung kapasiti seramai lima orang. Sudahnya, berkipas-kipas dalam tandas. Pagi-pagi dah berpeluh. Bila dah habis perhimpunan, semua akan berlakon konon-konon baru keluar dari tandas dan jalan ke kelas bersama-sama kawan-kawan yang pergi perhimpunan. Rasa macam bijak sangat dah masa tu. Haha.
Curi tengok drama korea dalam bilik TV (secara tidak halal)
Masa tingkatan lima, drama My Girl memang famous masa tu. Punyalah teruja nak tengok drama korea sanggup langgar peraturan. Peraturan asrama ni pelik-pelik. Boleh masuk bilik TV waktu hujung minggu saja. Drama korea yang ditayangkan setiap Isnin-Jumaat, kami hanya boleh tengok yang hari Jumaat saja. Ini tidak adil. Sebagai peminat drama korea yang tegar ketika itu, kami cukup merasakan ianya adalah sesuatu yang sangat tidak adil. (Over) Jadi ada seorang daripada kami bawa cd drama tersebut dan kami telah bersepakat tengok drama korea secara tidak halal tengah-tengah malam. Strategi nak tengok drama korea disusun dengan baik sekali. Pasang volume tv paling minimum. Tutup cahaya tv dengan kain nipis (takut nampak cahaya tv dari luar). Nak lagi nampak bijak, kami siap kunci pintu bilik tv dari luar (suruh kawan yang tak minat nak tengok drama tolong kunci dari luar). Tengah feeling-feeling korea, sekali pintu bilik tv dibuka. Okey, kantoi dengan headgirl. Haish. Baru nak feeling-feeling. Haha.
Mungkin bagi sesetengah orang, perkara-perkara ini hanyalah biasa, tapi bagi saya ini adalah kenangan saya dengan kawan-kawan saya. Kenangan-kenangan yang buat saya rasa rindu dengan mereka.